Bahagian 1 Allah menjadikan setiap
umat-Nya berbeza antara satu sama
lain. Setiap manusia ciptaan-Nya
begitu unik dan mempunyai keistimewaan
yang tersendiri. Mungkin ramai yang
tidak menyangka selain wajah dan
tingkahlaku seseorang, bentuk hidung
juga memainkan peranan dalam
menyingkap peribadi seseorang itu.
Ayuh tinjau, peribadi pasangan anda
dengan melihat bentuk hidungnya.
Hidung panjang : Jika pasangan anda
memiliki bentuk hidung seperti ini,
dia merupakan seorang yang mempunyai
personaliti yang kukuh dan berpotensi
untuk mempengaruhi orang lain yang
berada di sekelilingnya. Dia seorang
yang bercita-cita tinggi dan sangat
sensitif orangnya. Jadi janganlah anda
sengaja ‘mencari pasal’ dengan mereka
yang berhidung panjang.
Selain itu, mereka juga mudah membantu
dan sangat bermurah hati, hanya pada
mereka yang tahu menghargainya! Anda
tidak perlu membalas pertolongannya
cukup sekadar anda menghargai bantuan
yang dihulurkan itu. Mereka yang
berhidung panjang juga dipercayai
bijak menonjolkan diri dan mudah
berjaya dalam perniagaan dan bidang
seni.
Hidung kecil : Si empunya hidung
kecil, mempunyai daya imaginasi yang
tinggi dan berbakat dalam bidang seni.
Dia juga suka mengejar sesuatu yang
baru dalam kehidupan. Bagi mereka yang
berhidung kecil, suka mencuba sesuatu
yang baru dalam kehidupan.
Dia juga seorang yang peramah, dan
amat mudah menyesuaikan diri dengan
keadaan sekelilingnya. Adakalanya
sikap mereka sukar diramal dan mereka
bersikap kebudak-budakan. Jadi usahlah
anda rasa bosan dengan sikap si hidung
kecil kerana mereka sememangnya
seorang yang manja.
Awas, pemilik si hidung kecil tidak
tetap pendirian. Dia juga mudah
dipengaruhi oleh orang lain dan
bersikap terburu-buru dalam membuat
keputusan, tanpa memikirkan pro dan
kontra keputusan tersebut. Ha… bila
dah tersilap langkah, tiada gunanya
lagi…
Hidung paruh burung : "Eh, betullah.
Sekali pandang, hidung dia macam paruh
burung, nampak macam patahkan!"
Mungkin itu yang akan anda perkatakan
apabila ternampak seseorang yang
mempunyai hidung jenis ini. Ha…
jangan tak tahu… mereka yang
mempunyai hidung jenis ini ada
keistimewaannya. Mereka mempunyai
pendirian yang teguh dalam membuat
sesuatu keputusan dan tidak mudah
terpengaruh dengan kata-kata orang
lain.
Mereka cukup tegas dalam apa jua
keadaan, tidak terburu-buru dan
menunggu masa yang sesuai sebelum
membuat sesuatu tindakan. Pasti ramai
yang berminat dengan pemilik si hidung
paruh burung ini kerana daya pemikiran
mereka cukup imaginatif, kreatif dan
bijak, tetapi mereka agak sukar untuk
mencari cinta sejati dalam kehidupan
mereka.
Hidung tajam : Ha… jaga-jaga dengan
pemilik si hidung tajam! Mereka ini
jenis yang memandang kebendaan. Bagi
mereka aset dan wang adalah segala-
galanya. Tiada apa lagi yang penting
selain dua perkara tersebut. Erm,
jangan salah faham, pemilik si hidung
tajam ini, bukanlah kaki pisau cucur,
mereka mengumpulkan aset dan mencari
wang dengan tulang empat kerat mereka
dan bukan menumpang kekayaan orang
lain. Mereka sanggup bekerja keras
demi memastikan kehidupan mereka
selesa dan senang.
Erm, apalagi pastikan bentuk hidung
pasangan anda agar mudah untuk anda
mengenalpasti peribadi atau
personalitinya. Selepas ini, tiada
lagi alasan untuk anda tidak
mengetahui peribadi pasangan anda.
Bagi mereka yang berhidung kembang,
kecil runcing, pesek dan lurus,
pastikan anda membaca artikel ini
dalam bahagian kedua. Selamat menilik!
Bahagian 2 Erm… bagaimana agaknya?
Sudahkah anda menilik hidung pasangan
anda? Atau… bentuk hidung pasangan
anda tidak disenaraikan dalam bahagian
yang pertama dulu? Ha… jangan risau,
dalam bahagian kedua ini, kita akan
terus menerokai empat lagi bentuk
hidung iaitu hidung lurus, hidung
kembang, hidung runcing dan hidung
pesek.
Hidung lurus: Bertuahnya kalau anda
berdampingan dengan si pemilik hidung
lurus. Ha… mereka ini merupakan
seorang yang setia dan adil dalam
menyelesaikan sesuatu perkara. Mereka
adalah golongan yang sanggup berkorban
demi orang lain berbanding menjaga
kepentingan sendiri. Si hidung lurus
akan mencari pasangan hidupnya yang
juga setia dan tidak menipu. Awas,
sekali anda telah menipu si hidung
lurus, peratus kepercayaannya kepada
anda akan turun ke tahap 0%. Jangan
main-main.
Hidung kembang: Mereka yang berhidung
kembang merupakan seorang yang aktif
dan cekap dalam melakukan apa jua
kerja. Mereka seorang yang artistik
dan suka mempelbagaikan aktiviti
seharian mereka. Jika anda ingin
meminta pertolongan, carilah pemilik
hidung kembang sebab mereka akan
membantu anda pada bila-bila masa.
Mereka mudah kasihan kepada teman-
teman, sehingga tidak sanggup untuk
mengecewakan sesiapa.
Hidung runcing: Mereka yang berhidung
runcing adalah seorang yang lemah-
lembut dan amat berdiplomasi. Ha…
jangan tak tahu, mereka yang berhidung
runcing juga licik orangnya, mereka
juga bersikap pentingkan diri sendiri.
Satu lagi kelemahan si hidung runcing,
mereka mudah terpengaruh dengan apa
juga yang dilakukan oleh orang lain.
Mood mereka sukar dijangka, jadi
janganlah anda melakukan sesuatu
yang ‘bodoh’ kerana ia akan menjerat
diri anda sendiri.
Hidung pesek: Mereka yang memiliki
bentuk hidung seperti ini merupakan
seorang yang kuat berahsia. Orang yang
tidak mengenali pemilik si hidung
pesek tidak akan dapat menjangka
perasaan mereka dari semasa ke semasa.
Mereka juga dikatakan kurang yakin
dalam melakukan sesuatu perkara,
sedangkan mereka sebenarnya boleh
menyelesaikan perkara tersebut dengan
baik. Si hidung pesek cukup ramah dan
mudah mesra walau dengan sesiapa
sahaja. Mereka boleh membuatkan orang
lain cukup senang dengan kehadiran
mereka.